Kenyataan Akhbar: Ubah Akta Kanabis Bantu Bina Negara


CYBERJAYA : NGO Penyelidikan Hemp Industri Malaysia, MHIRA mengalu-alukan kenyataan Menteri Kesihatan (YB Khairy Jamaluddin) untuk mengkaji semula Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun supaya peraturan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan boleh disesuaikan mengikut bukti dan data saintifik, serta penyelidikan terkini mengenai penggunaannya.


“Sekiranya Kanabis diperkenalkan di Malaysia, apa yang penting, ia dilakukan secara telus dan bijaksana, seperti mendahulukan keluarga sativa L seperti Hemp sebagai pengenalan perubatan tanpa memberikan efek dadah ‘kepada pesakit’. Ini termasuk aspek pembangunan modal insan, kesihatan berasaskan sains serta mengaitkan Hemp Industri dengan matlamat pembangunan mapan 2030”, menurut Presiden MHIRA, Johan Mohamad.


Bagi negara Asia Tenggara, Jepun, Pakistan, Nepal & Thailand ialah antara negara yang membenarkan penanaman Kanabis Hemp. Seorang ahli Exco MHIRA yang mengikuti kajian Hemp di Jepun turut memberikan reaksi kepada kerajaan Malaysia. “Kami turut mencadangkan supaya KKM dapat mengkaji kebaikan Hemp Industri termasuk aspek polisi yang melibatkan kementerian yang lebih fokus, sekiranya kerajaan Malaysia memandang serius isu kemasyarakatan, ekonomi dan kesihatan awam, sudah tiba masanya untuk memperkenalkan industri bermanfaat demi negara ini.” kata Exco Agro & Polisi MHIRA, Maszeli
Mohammad Wee.

MHIRA atau Malaysia Hemptech Industrial Research Association yang didaftarkan sejak awal tahun 2016 di bawah Registrar of Society (ROS) mempunyai lebih 600 keahlian seluruh Malaysia dikalangan penyelidik, penjawat awam, petani, badan koperasi, usahawan tempatan, pelabur ahli farmasi dan akademik.

Maszeli yang baru sahaja selesai tesis Master dalam tajuk polisi Hemp di Jepun di bawah Universiti Malaya berkata negara mempunyai peluang yang lebih baik akibat faktor cuaca yang berupaya memberi
hasil tuaian sekurang-kurangnya 5 kali dalam masa 2 tahun. Maszeli mengakui Hemp mengandungi lebih banyak Cannabidiol ataupun CBD sehingga 20% sebatian tanpa kesan psikoaktif. Malahan menurutnya lagi produk-produk CBD sudah diperkenalkan secara meluas di negara seperti Jepun dan Korea Selatan.


Ganja sebagai nama saintifik tumbuhannya terbahagi kepada 3 spesies utama iaitu kanabis sativa, indica dan ruderalis. Hemp ialah subspesies C. Sativa L yang telah dibenarkan di lebih 67 negara untuk kegunaan industri dan perubatannya. Hemp Industri adalah industri yang berlainan berbanding industri kanabis yang banyak digunakan sebagai perubatan.

Di Australia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah, kerajaan mereka membenarkan tanaman Hemp pada kadar sebatian dari 0.3% – 1% THC. Selain terdapat banyak jurnal kajian berkenaan CBD tanpa psikoaktif, terdapat juga kategori pesakit yang memerlukan sebatian THC iaitu Tetrahydrocannabinol dalam menguruskan kesakitan. Kategori penyakit kronik yang dimaksudkan adalah seperti Cerebral Palsy, Austima, Epilepsi, Parkinson dan Kanser. Kajian terkini dari Oregon Health & Science University “menunjukkan keupayaan sebatian Hemp (CBD) untuk menghalang virus COVID-19 daripada memasuki sel manusia,” lapor Penyelidik dari OSU.


MHIRA berharap dengan usaha berkenaan rang undang-undang kanabis di Malaysia sebagai langkah kehadapan dalam membina negara progresif. Melalui pengalaman semenjak mula terlibat dalam usaha penyelidikan, penjadualan semula kanabis di peringkat antarabangsa, MHIRA bersikap terbuka dalam menjalinkan kerjasama dengan kementerian & agensi yang terlibat dalam usaha baik ini.